KUALA LUMPUR – Sejarah Asia wajar dihargai tanpa bergantung kepada naratif kolonial, sebaliknya perlu dimartabatkan menerusi kaca mata pemimpin tempatan seperti Tipu Sultan yang menjadi lambang keberanian, keilmuan dan toleransi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sumbangan Tipu Sultan dan bapanya, Haider Ali, sebagai pejuang menentang penjajahan British jelas membuktikan pentingnya memahami sejarah dari perspektif Asia dan bukan hanya melalui sudut pandang Barat.
“Salah seorang sarjana kita, Syed Hussein Alatas juga menekankan keperluan membina semula sejarah kerana ia tidak boleh ditulis hanya oleh pemenang atau dari perspektif penjajah,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika merasmikan pameran More Than A Day As A Tiger di Muzium Kesenian Islam Malaysia, di sini malam tadi.
Pameran yang julung kali diadakan di Malaysia itu akan berlangsung mulai esok sehingga 11 Januari tahun depan, mempamerkan lebih 100 artifak daripada era Kesultanan Mysore yang pernah dipimpin Tipu Sultan.
Menurut Anwar, sejarah Malaysia seperti kebanyakan negara lain turut banyak dipengaruhi naratif British, meskipun pelbagai karya akademik telah ditulis termasuk oleh sarjana tersohor Edward Said menerusi konsep orientalism.
“Disiplin sejarah, budaya dan masyarakat kita masih lagi terpengaruh dengan sudut pandang tertentu dari Barat,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau berharap pameran tersebut mampu menyemai nilai tadbir urus yang inklusif serta memperkukuh apresiasi terhadap pendidikan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Tipu Sultan adalah seorang ilmuan, pemimpin bertoleransi dan pejuang anti-penjajahan yang tidak gentar. Beliau memahami pentingnya menguasai teknologi terutamanya dalam peperangan bagi menentang pemerintahan kolonial.
“Apa yang kurang diketahui ialah tadbir urus inklusif beliau. Tipu Sultan menghormati dan mengambil berat terhadap semua rakyatnya, majoritinya beragama Hindu,” ujarnya.
Anwar turut memetik kata-kata terkenal Tipu Sultan, “Lebih baik hidup sehari sebagai harimau daripada seratus tahun sebagai kambing,” yang menurutnya memberi inspirasi besar kepada mana-mana gerakan reformasi dan transformasi. – KOSMO! ONLINE