fbpx
SIVANESAN (tengah) melawat sebuah ladang khinzir fasiliti moden, mesra alam dan bebas pencemaran di Ayer Kuning, Tapah hari ini.

Tangguh semua aktiviti luar sekolah di Selama – Sivanesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAPAH – Pengetua dan guru besar sekolah-sekolah di Selama, Taiping dekat sini diminta supaya menangguhkan buat sementara, semua aktiviti bersifat fizikal di luar sekolah ekoran gelombang haba luar biasa dengan suhu mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celcius setakat ini.

Pengerusi Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A.Sivanesan berkata, penangguhan itu bukan bersifat mandatori tetapi bersifat sementara sehingga tahap suhu kembali normal.

“Difahamkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), cuaca akan berubah selepas September (Oktober). Kalau boleh hentikan sahaja aktiviti-aktiviti luar (fizikal) di sekolah.

“Sekiranya ingin diadakan pun pada waktu pagi sejam atau dua jam sudah mencukupi. Aktiviti sukan dan aktiviti-aktiviti luar tolong tangguhkan,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan di sebuah ladang khinzir fasiliti moden, mesra alam dan bebas pencemaran di Ayer Kuning, di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya minum air dengan secukupnya justeru pihak sekolah di Selama disarankan menyediakan air minuman yang mencukupi untuk keperluan pelajar.

Katanya, pekerja yang bekerja di bawah cuaca panas seperti penyelenggaraan jalan perlu menjaga kesihatan dengan sebaiknya selain mengatur jadual bekerja lebih awal.

Ujarnya, hospital dan klinik awam di seluruh negeri telah mengadakan persediaan awal bagi menghadapi suhu panas ekstrem ini sejak bulan Mac lalu.

Tambahnya, mereka yang diserang strok haba boleh mendapatkan rawatan lanjut dengan segera tanpa bertangguh di fasiliti perubatan awam terdekat pada bila-bila masa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI