SINGAPURA – Seorang taikun perhotelan Malaysia yang membantu membawa Formula Satu(F1) ke Singapura mengaku bersalah atas dakwaan bersubahat menghalang keadilan, dalam kes yang menyaksikan bekas menteri negara itu dihukum penjara kerana menerima ‘hadiah’ sebagai penjawat awam pada tahun lalu.
Jutawan berpangkalan di Singapura, Ong Beng Seng, 79, didakwa pada Oktober 2024 kerana membantu bekas menteri pengangkutan, S. Iswaran menyembunyikan bukti semasa siasatan oleh biro anti rasuah.
Ong mengaku bersalah dari kandang kaca di mahkamah daerah, pusat bandar Singapura semalam.
Pendakwa raya meminta hukuman penjara dua bulan selepas Ong bersetuju untuk mengaku bersalah. Dia akan dijatuhi hukuman pada 15 Ogos ini.
Pendakwa raya bagaimanapun bersetuju dengan peguam pembela bahawa mahkamah boleh melaksanakan ‘belas kasihan kehakiman’ memandangkan kesihatan Ong kurang baik bagi mengurangkan hukuman.
Peguamnya memohon pengampunan dengan berkata, Ong menderita pelbagai penyakit serius, termasuk sejenis kanser yang tidak dapat diubati.
Mereka meminta ‘denda berat’ dikenakan sebagai ganti hukuman penjara.
“Risiko kepada kehidupan Ong meningkat mendadak di penjara,” kata peguam Cavinder Bull kepada mahkamah yang berhujah, penjara tidak dapat memberikan penjagaan wajar kepada anak guamnya.
“Lelaki ini hidup dalam bahaya,” tambah Bull.
Perbicaraan Ong yang dilahirkan di Malaysia menarik perhatian media kerana hubungannya dengan Iswaran dan reputasi Singapura sebagai salah satu negara paling kurang rasuah di dunia.
Ong memiliki syarikat Hotel Properties Limited yang berpangkalan di Singapura dan merupakan pemegang hak perlumbaan F1 ke Singapura pada 2008.
Pada Julai 2023, Ong ditangkap sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah melibatkan Iswaran, namun dibebaskan dengan ikat jamin.
Pada Oktober tahun lalu, Iswaran dipenjarakan selama 12 bulan selepas mengaku bersalah menerima hadiah haram bernilai lebih Sg$400,000 (RM1.3 juta).
Dia juga didapati bersalah menghalang keadilan, dalam perbicaraan rasuah politik pertama di Singapura dalam tempoh hampir setengah abad.
Iswaran menamatkan hukumannya pada 6 Jun lalu. – AFP