fbpx
Hael berkata, selagi diberi kudrat dan kesihatan, dia akan terus berbakti dalam dunia seni.

‘Selagi Siti Nurhaliza tak mengeluh penat, kita tak patut merungut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPANG – Meskipun waktu rehat terbatas, penyanyi dan komposer Hael Husaini tidak pernah menjadikan rasa penat sebagai alasan untuk berehat seketika daripada dunia seni.

Ujar Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 37, semangat dan disiplin tinggi Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi penanda aras utama untuknya terus kekal memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan.

“Bagi saya, penat bukan satu keluhan. Sebagai artis, apabila saya sudah berikan komitmen, maka tanggungjawab itu perlu dilaksanakan walau apa pun cabarannya.

“Saya hidup dengan satu prinsip iaitu selagi penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak mengeluh penat, kita yang jauh di bawah ini tak layak untuk merungut letih,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menyentuh soal ‘me time’, pelantun lagu Diam itu berkata, fasa tersebut telah lama dinoktahkan demi mengejar impian dan peluang yang terbentang luas.

Me time saya dah habis lama dulu, waktu saya belum dikenali, waktu saya sendu. Jadi sekarang bila rezeki sudah datang, saya tak mahu lepaskan.

“Masa untuk berehat panjang sudah tidak wujud. Saya mahu terus ke hadapan.

“Saya tetap ada waktu rehat, dapat tidur yang berkualiti pun sudah cukup bagi saya. Lagi pula saya memang jenis kuat bekerja,” ujarnya ketika ditemui pada sesi latihan akhir Konsert Tentang Cinta, di sini, semalam.

Sebagai bukti kesungguhannya, Hael kini giat membuat persiapan untuk konsert solo sulungnya, Hael Husaini & Repertoire yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Ogos ini.

Konsert tersebut turut dijangka menyaksikan kolaborasi eksklusif bersama rakan-rakan industri seperti Nabila Razali, Wany Hasrita, Nadeera Zaini, Alpha dan Dayang Nurfaizah.

Sehari selepas itu, Hael turut menyertai Festival Tentang Cinta di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada 9 Ogos ini.

Konsert berskala besar tersebut menghimpunkan nama-nama hebat dari Malaysia dan Indonesia seperti Andmesh Kamaleng, Ziva Magnolya, Adira Suhaimi, Ara Johari dan Mary Grace. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI