PETALING JAYA – Langkah kerajaan memperluas cukai prokesihatan kepada produk rokok elektronik atau vape disifatkan sebagai pendekatan lebih wajar berbanding larangan menyeluruh.
Ini kerana kata Pengarah Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil berkata, kawalan itu bukan sahaja melindungi kesihatan awam, malah memelihara kelangsungan industri tempatan yang sah dan bertanggungjawab.
“Walaupun pengenalan cukai ini dijangka memberi kesan terhadap harga produk dan operasi pengeluar tetapi ia merupakan pendekatan kawalan yang lebih wajar serta inklusif,”katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya membuat pertimbangan mengenai larangan penuh penjualan dan penggunaan vape serta rokok elektronik.
Namun, ia memerlukan beberapa pertimbangan seperti implikasi undang-undang, penguatkuasaan, dan kesihatan awam.
Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memaklumkan, kerajaan akan memperluaskan cukai prokesihatan kepada produk seperti tembakau, vape dan alkohol untuk membendung penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, langkah itu menunjukkan ketegasan kerajaan dalam menangani risiko kesihatan.
Mengulas perkembangan itu, Shahabudeen menggesa kerajaan menyelaraskan dasar berkaitan rokok elektronik susulan kenyataan bercanggah antara perdana menteri dan menteri kesihatan yang menimbulkan kekeliruan dalam industri.
Menurutnya, dasar tidak menentu hanya memburukkan industri vape, menyukarkan pelaburan dan merencatkan perancangan jangka panjang.
“Ketidaksepadanan dasar ini menimbulkan kekeliruan yang ketara dalam kalangan pengusaha industri, selain membingungkan pengguna,” katanya.
Terdahulu, beberapa kerajaan negeri mengambil langkah pengharaman penuh penjualan vape antaranya Perlis, Terengganu, Kedah, dan Pahang. Johor dan Kelantan pula menguatkuasakan larangan penjualan produk tersebut masing-masing sejak 2016 dan 2015.-KOSMO! ONLINE