PETALING JAYA – Seorang pakar psikologi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa beberapa mesej perbualan WhatsApp yang dihantar Ismanira Abdul Manaf kepada suaminya adalah gurauan kasar antara suami isteri dan tidak menunjukkan mereka berniat jahat.
Saksi pembelaan kelima, Dr. Noor Aishah Rosli, 49, berpendapat, mesej perbualan itu dihantar ibu Zayn Rayyan Abdul Matin kepada Zaim Ikhwan Zahari tidak serius, sebaliknya hanya luahan emosi dan perasaan pasangan tersebut.
“Dalam mesej-mesej WhatsApp ini adalah satu benda yang menunjukkan perhubungan suami isteri, perbualan ini menampakkan luahan perasaan suami isteri.
“Gurauan kasar iaitu bergurau, walaupun kita lihat perkataan itu agak kasar, tetapi ia hanyalah bersifat ‘surface’ (permukaan), hanya cakap-cakap kosong yang tidak serius sekadar untuk meluahkan emosi.
“Ini kerana ayat-ayat dalam perbualan mesej WhatsApp itu ada yang kasar…ada yang biasa dan ada yang bergurau. Saya sama sekali tidak melihat ayat-ayat ini sebagai satu niat yang jahat,” katanya pada pemeriksaan utama oleh pihak pembelaan.
Antara perbualan WhatsApp itu ialah ‘Lantaklah nak hidup ke nak mati’, ‘Kau je satu-satu orang aku boleh lepas segala benda, marah ke, stres ke’.
Sementara itu, dalam pemeriksaan balas kepada pihak pendakwaan berhubung mesej ‘Lantaklah nak hidup ke nak mati’ adalah normal untuk menghantar WhatsApp kepada pasangan, saksi itu bersetuju dan menjawab ‘Ya’.
“Saya melihat corak perbualan mesej WhatsApp antara Ismanira dan Zaim Ikhwan memang kasar dan ia adalah untuk mendapatkan perhatian suaminya,” kata saksi itu.
Pada masa sama, saksi itu turut mengatakan beberapa perbualan lain adalah ayat-ayat normal yang dialami oleh seorang ibu yang menjaga kanak-kanak autistik.
Sepanjang prosiding Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh Mahadevan, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Mengikut pertuduhan, Ismanira, 30, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, (ketika kejadian) mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000. – KOSMO! ONLINE