KULIM – Seorang penganggur yang menunggang basikal maut digilis sebuah lori tanah di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pejabat Pos Kulim, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, kejadian berlaku ketika basikal ditunggang seorang lelaki berusia 39 tahun serta lori dipandu lelaki berusia 33 tahun datang dari arah sama iaitu Jalan Tunku Asaad menghala ke Jalan Tunku Bendahara.
“Pemandu lori meneruskan perjalanan sebaik lampu isyarat bertukar hijau sebelum terlanggar mangsa yang berada di hadapan.
“Mangsa cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, hasil siasatan percaya punca kemalangan disebabkan kecuaian pemandu lori yang dipercayai gagal mengawal kenderaan serta tidak memberi tumpuan di hadapan jalan. – KOSMO! ONLINE