fbpx
Muhyiddin.

Muhyiddin nafi pertahan warga asing subsidi petrol RON95

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mempertahankan warga asing berhubung isu subsidi petrol RON95.

Muhyiddin berkata, tuduhan itu dibuat Perdana Menteri, yang juga Ahli Parlimen Tambun ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

“Antara lain, Perdana Menteri menyatakan beliau mendengar ada Ahli Parlimen yang mempertahankan orang asing. Pagoh (Muhyiddin) kata kenapa bebankan orang asing kerana mereka juga ada sumbangan kepada negara.

“Saya menafikan tuduhan ini kerana saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sedemikian sama ada dalam bentuk kenyataan media, sidang media atau menjawab pertanyaan wartawan,” katanya menerusi Facebook malam ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut mencabar Anwar supaya mengemukakan bukti sumber yang mendakwa beliau pernah membuat kenyataan tersebut.

“Tuduhan Perdana Menteri jelas merupakan satu pembohongan di Dewan Rakyat,” tegasnya.

Terdahulu, Anwar dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri meminta pembangkang membaca kenyataan Muhyiddin yang didakwanya mempersoalkan tindakan kerajaan membebankan orang asing dalam penyasaran subsidi RON95.

Anwar berkata demikian sebagai reaksi terhadap pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN–Hulu Terengganu) yang meminta beliau menjelaskan siapakah Ahli Parlimen yang didakwa mempertahankan kebajikan warga asing susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI