BANDAR GAZA – Kumpulan Hamas menegaskan bahawa tiada layanan istimewa diberikan kepada tebusan Israel dari segi pemberian makanan berbanding penduduk Gaza lain yang berada dalam kelaparan, lapor arab Arab News kelmarin.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Hamas pada minggu lalu menyiarkan rakaman video memaparkan seorang tebusan Israel, Evyatar David yang kelihatan tidak bermaya dan kurus kering selain seorang lagi tahanan, Rom Braslavsky.
“Hamas bukan sengaja membiarkan tebusan berada dalam kelaparan tetapi mereka akan mendapat makanan yang sama seperti apa yang dimakan oleh pejuang kami dan orang awam,” kata sayap tentera Hamas, Briged Al-Qassam dalam satu kenyataan.
Briged Al-Qassam menambah bahawa Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) akan dibenarkan memberi bantuan kepada tebusan sekiranya Israel membuka koridor kemanusiaan secara kekal.
“Kami bersedia untuk bertindak balas secara positif terhadap permintaan Palang Merah bagi menghantar makanan serta ubat kepada tebusan.
“Namun dengan syarat, Israel perlu membuka koridor kemanusian agar bekalan dapat merentasi semua kawasan di Semenanjung Gaza,” tambahnya.
Kenyataan itu dibuat selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu meminta ICRC membantu menyalurkan makanan kepada tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza.
“Tiada tahanan akan menerima keistimewaan ketika rakyat kita sedang kelaparan dan terkepung,” kata jurucakap Briged Al-Qassam, Abu Obeida.
Tambahnya, akses untuk penghantaran bantuan bergantung kepada tindakan Israel dalam menghentikan serangan udara ketika agihan dilakukan.
Dalam video bertajuk ‘Kerajaan pendudukan (Israel) memutuskan untuk membiarkan mereka kelaparan’, ia menggambarkan keadaan tahanan Israel yang semakin teruk ketika mereka menunggu perjanjian pertukaran tahanan.
Video tersebut digabungkan dengan adegan mengerikan kanak-kanak Palestin di Gaza yang menanggung keadaan kelaparan dan kebuluran yang sama.
Klip video itu diakhiri dengan mesej berbunyi: “Mereka makan apa yang kami makan dan minum apa yang kami minum.”
Ia menggambarkan bahawa nasib tawanan Israel berkait rapat dengan penderitaan lebih dua juta rakyat Palestin yang terperangkap di bawah kepungan di Gaza, lapor laman berita Al Mayadeen.
Klip video itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan peneroka haram Yahudi berhubung pengendalian kerajaan terhadap perang dan kegagalannya dalam rundingan pertukaran tahanan yang komprehensif.
Sebagai tindak balas, berpuluh-puluh penunjuk perasaan mengadakan protes di Lebuhraya Ayalon kelmarin demi menuntut pembebasan segera tebusan yang ditahan di Gaza.
Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan sesi tergempar berhubung tebusan Israel di Gaza.
Duta Israel ke PBB, Danny Danon menyiarkan pengumuman itu di media sosial di tengah-tengah kemarahan terhadap video yang menunjukkan dua tebusan tersebut.
“Majlis akan bersidang pada hari Selasa (hari ini) untuk sesi kecemasan khas mengenai situasi teruk tebusan di Gaza,” katanya.
Menurut saluran berita Al Jazeera, jumlah kematian berkaitan kelaparan di Gaza meningkat kepada 162 termasuk 92 kanak-kanak, sejak perang Israel terhadap Gaza bermula pada Oktober 2023. – AFP/AGENSI