KOTA BHARU – Kelab Bola Sepak Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) secara rasminya telah bebas daripada semua sekatan perpindahan yang dikenakan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bermula semalam.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Presidennya, Tan Sri Anwar Musa yang melalui hantaran terkini di halaman Facebook peribadinya hari ini..
“Setelah sekian lama berusaha menyelesaikan segala tuntutan yang melibatkan kelab dikenakan larangan pendaftaran pemain, akhirnya alhamdulillah semuanya berjaya di selesaikan.
Kes terakhir dari sembilan sekatan, telah mendapat pelepasan rasmi semalam (rujuk surat FIFA 4 OGOS),” katanya.
Annuar turut berkongsi foto surat rasmi daripada badan perundangan FIFA yang mengesahkan bekas pemain import kelab itu di bawah nama lamanya, Kelab Bola Sepak Kelantan Darul Naim (KDN FC), Ali Abdalrahim Kharoub telah menerima tunggakan bayaran dituntutnya.
Surat berkenaan juga menyatakan bahawa prosiding terkini terhadap kelab tersebut selaku responden telah ditutup dan sekatan daripada mendaftar pemain baharu telah dimansuhkan secara rasmi.
Sehubungan itu, Annuar turut memberitahu, Kelantan TRW kini sedang menyempurnakan proses pendaftaran pemain termasuk import dan akan diselesaikan dalam masa sehari atau dua hari lagi.
“Kelantan masih mempunyai lima slot kosong bagi pemain import dan dua tempatan yang tidak diisi. Kini secara rasmi terbentuklah pasukan baru Kelantan The Real Warriors,” katanya.
Pada 1 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan Annuar memaklumkan Kelantan TRW telah menyempurnakan semua sekatan dikenakan FIFA dan mungkin dapat menyelesaikan pendaftaran kesemua pemain pada minggu ini. – KOSMO! ONLINE