fbpx
Fadhlina menyerahkan replika cek BAP kepada wakil Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa, Kelantan kelmarin.

Lebih 100,000 pelajar tingkatan 6 terima BAP tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Pelajar tingkatan enam di Kelantan bertuah apabila Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hadir menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) semasa menjalankan lawatan kerja di negeri ini baru-baru ini.

Penyerahan BAP yang dijalankan di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa di sini turut memberi peluang kepada Fadhlina untuk bertemu mata dan mendengar luahan para pelajar yang mula mendaftar pada 10 Jun lalu.

Agihan BAP sebanyak RM150 itu dilaksanakan bermula 4 Ogos lalu secara serahan tunai melalui program pertemuan dengan ibu bapa atau penjaga.

Inisiatif BAP kepada pelajar tingkatan enam kali pertama diperkenalkan pada tahun ini de­ngan kos keseluruhan RM15 juta sekali gus memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar.

Fadhlina berkata, keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Kelantan merupakan antara yang terbaik dan konsisten di dalam negara ini.

Menurutnya, justeru, tumpuan perlu diberikan bukan sahaja melibatkan infrastruktur, tetapi aspek guru-guru dan pelajar-pelajar juga akan diambil kira.

“Sumbangan BAP ini diharap dapat membantu pelajar-pelajar tingkatan enam dalam pendidikan mereka.

“Wang yang diagihkan itu boleh digunakan untuk membeli kelengkapan pembelajaran dan buku-buku tambahan khususnya sejarah atau pengetahuan am.

“Kejayaan dalam STPM bukan hanya melibatkan kita seorang sahaja. Ia lebih bermakna sekiranya semua pelajar mendapat soko­ngan dan meraikan bersama rakan-rakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan BAP Kepada Murid Tingkatan Enam Semester 1 Sesi Persekolahan 2025/2026 di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa di sini kelmarin.

Fadhlina menerangkan, buat masa ini, Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyalurkan peruntukan untuk agihan BAP berjumlah RM7,958,250 yang memberi manfaat kepada 53,055 orang pelajar tingkatan enam.

Selain itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Mat Lazim Mohammad berkata, peng­agihan BAP mampu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan asas pendidikan anak-anak.

Menurutnya, ia merupakan salah satu bentuk reformasi di peringkat sekolah yang menuntut kerjasama daripada semua pihak terutamanya KPM.

“BAP untuk pelajar tingkatan enam merupakan program kali pertama dilaksanakan pada tahun ini. Dengan memberi tumpuan kepada aspek pendidikan, masalah sosial dan sosioekonomi masyarakat mampu diatasi,” katanya semasa berucap pada majlis itu.

Sementara itu, penerima BAP, Nur Syahadah Deena Lokman Tee, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri di sini berkata, sumbangan bantuan itu tepat pada masanya kerana wang tersebut akan digunakan untuk membeli baju batik sekolah.

“Saya sangat teruja apabila kami merupakan kumpulan pertama pelajar tingkatan enam Semestar 1 Sesi Persekolahan 2025/2026 yang mendapat BAP sejak perluasan skop bantuan itu dilaksanakan.

“Alhamdulillah, ia sedikit sebanyak mampu meringankan beban ibu bapa. Saya akan gunakan wang tersebut untuk membeli baju batik sekolah,” katanya.

Seorang lagi pelajar tingkatan enam, Wan Muhamad Izzat Wan Mohd. Amin, 18, berkata, sumbangan BAP itu sedikit sebanyak dapat menampung kos pengangkutan untuk berulang-alik dari rumah di Kampung Kubang Kacang di sini ke Maktab Sultan Ismail.

“Selain itu, saya juga akan menggunakan wang tersebut untuk membeli beberapa buku tambahan untuk mengulang kaji pelajaran,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar Sekolah Menengah Pengkalan Chepa, Nurhusniza Zaidi, 18, berkata, agihan BAP itu memberi peluang kepadanya membeli tambahan barangan persekolahan yang masih belum lengkap.

“Selain alat tulis dan buku rujukan, saya akan gunakan wang BAP itu untuk membeli baju batik sekolah.

“Buat masa ini, saya masih tiada baju batik dan boleh membelinya selepas menerima BAP,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN