fbpx
Zara Qairina.

Laporan siasatan kes Zara Qairina pincang, tuntut inkues, bedah siasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Wujud kelemahan dan kepincangan serius dalam laporan siasatan awal yang telah dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Dalam kenyataan bersama, peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, menegaskan bahawa skop siasatan yang dijalankan adalah terlalu kecil dan fokusnya sangat terhad.

Menurut mereka, beberapa perkara utama telah terlepas daripada perhatian siasatan awal termasuk ketiadaan proses bedah siasat terhadap jenazah Zara sebelum dikebumikan serta kegagalan pihak polis mengambil pakaian dan barangan peribadi mangsa untuk dijadikan bahan bukti.

“Keterangan anak guam kami berkenaan kesan lebam di bahagian belakang tubuh Zara hanya diambil pada 3 dan 4 Ogos (kelmarin dan semalam), sedangkan laporan siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara seawal kelamrin di Sabah dan semalam di Putrajaya.

“Kami percaya polis tidak mempunyai material yang cukup untuk menyiasat secara efektif perkara ini kerana mereka tidak mempunyai laporan bedah siasat,” kata mereka,” katanya hari ini.

Mereka turut melahirkan kebimbangan terhadap penularan ‘plot twist’ di media sosial yang cuba mengaitkan kononnya kematian Zara akibat tekanan perasaan oleh ibunya sendiri memberi indikasi seolah-olah berlaku kebocoran kepada fail siasatan.

“Kertas yang digelar ‘diari’ Zara menjadi tumpuan sehingga dilabel sebagai ‘bukti berjisim’.

“Jika kertas itu adalah sebahagian daripada barang peribadi Zara yang diambil dari lokarnya di asrama oleh polis selepas kematiannya, itu bermakna seseorang telah membocorkan isi kandungan fail siasatan kepada umum bagi membina naratif jahat dan persepsi negatif,” ujarnya.

Sehubungan itu, satu surat rasmi telah dihantar kepada Peguam Negara pagi ini bagi merayu agar kertas siasatan dikembalikan kepada PDRM untuk siasatan semula.

“(Kami mohon) kertas siasatan dikembalikan kepada PDRM dan siasatan dibuka semula dan proses siasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman.

“(Ia turut meliputi) kubur Zara digali semula agar satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian serta satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah,” jelasnya.

Pasukan peguam berharap Peguam Negara dapat melaksanakan kuasa di bawah seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk mengarahkan majistret mengadakan inkues tersebut.

Mereka turut memaklumkan akan menyerahkan semua pakaian dan barangan milik Zara kepada polis hari ini sebagai komitmen penuh terhadap siasatan yang adil.

“Anak guam kami tidak mengharapkan kemenangan dalam siasatan. Dia hanya mahukan keadilan bagi anaknya, Zara. Dia sentiasa bersedia untuk membantu polis dalam siasatan,” jelasnya.

Semalam, Kosmo! melaporkan PDRM telah menyerahkan laporan siasatan berhubung kematian Zara Qairina kepada AGC.

Perkara berkenaan disahkan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail.

Dalam kenyataan semalam juga, AGC memaklumkan pihaknya sedang meneliti dengan mendalam laporan penuh siasatan awal PDRM berhubung kes kematian pelajar berkenaan.

Katanya, proses penelitian itu merangkumi semua aspek undang-undang dan fakta yang dikemukakan bagi memastikan keputusan diambil berlandaskan undang- undang serta memenuhi setiap keadilan.

Sebelum ini, ibu Zara membuat laporan polis di Balai Polis Sipitang selepas teringat melihat kesan lebam pada belakang anaknya ketika memandikan jenazah di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai lalu.

Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama pada pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke hospital oleh pihak sekolah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI