PETALING JAYA – Seorang wanita hidup dalam serba ketakutan apabila sering dipukul oleh suaminya atas alasan-alasan yang tidak munasabah.
Menerusi perkongsian Dr. Suriyakhatun di Facebooknya, wanita berusia 50-an itu yang juga pesakitnya kini berdepan dengan penyakit kronik akibat berdepan dengan keganasan rumah tangga tersebut.
“Ada pesakit perempuan saya sakit kronik. Tanya punya tanya saya dapat tahu suami dia pukul dia. Lambat masak, pukul, lambat balik dari urusan, pukul.
“Terkedu saya. Suami duduk-duduk tak tolong kerja rumah. Anak dah besar-besar semua dan tahu ibu sering dipukul tetapi buat tak tahu. Tak tegur ayah,” ceritanya.
Dia berkata, si isteri tidak membuat laporan polis kerana si suami sering memukul namun tidak meninggalkan kesan serta tiada saksi ketika kejadian berlaku.
“Saya tanya kenapa kena bertahan lama, pesakit saya jawab dia tunggu anak bongsu kahwin, baru nak minta cerai. Sebab suaminya akan jadi wali nanti,” ujarnya.
Jelasnya lagi, pesakit ni dah berbulan menerima rawatan dan keadaan kesihatan dan emosi dia masih lagi dalam pemulihan.
Katanya, setelah menjalani pemulihan, wanita tersebut tampak semakin kuat dan tegas.
“Contohnya berhenti masak untuk suami dan hanya masak untuk diri sendiri.
“Kini dia pun dah banyak jalankan aktiviti sendiri, pergi kuliah, jumpa kawan. Hampir tak bersua dengan suami yang kini tidak berani tegur isterinya yang dulu menikus kini tegas.
“Begitulah sifat pembuli hanya berani bila yang di buli takut dan tunduk,” katanya. – KOSMO! ONLINE