LEBIH dua dekad dalam industri muzik, kumpulan nasyid kontemporari Rabbani tidak lagi kekok mengadakan konsert berskala mega.
Masakan tidak, kumpulan terbabit sudah beberapa kali merealisasikan persembahan mega selain kerap dipilih memeriahkan program dan acara besar.
Kali ini, kumpulan yang terkenal dengan lagu Intifada itu bakal menghiburkan peminat dengan Konsert Intifada Rabbani pada 20 September depan bertempat di Ideal Live Arena, Petaling Jaya, Selangor.
Konsert yang bermula pada jam 8.30 malam itu akan berlangsung selama dua jam terdiri membabitkan penampilan Azadan Abdul Aziz bersama rakan seperjuangan lain.
Tunjang utama Rabbani yang lain ialah Asri Ubaidullah, Zulkiflee Azman, Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen, Mohamad Afandi Shahbudin dan Ahmad Shafie.
Bagi Azadan selaku ketua, dia lega apabila tidak berada dalam tekanan walaupun bakal mengadakan persembahan solo terbesar.
“Insya-Allah, tiada tekanan sebab dari awal kemunculan lagi kita memang sudah biasa kalau tampil dalam program atau besar konsert, memang nak hidupkan seni dan budaya Islamik.
“Kita bukan sekadar menyampaikan lagu-lagu bermesej positif, bahkan ingin hidupkan kreativiti dalam persembahan dari sudut pakaian.
“Memang kami sangat utamakan dan alhamdulillah kita satu pasukan dah biasa. Tiada masalah, kami risaukan adalah vokal sebab lagu kami memang mencabar,” katanya kepada HibGlam.
Bagaimanapun, penyanyi berusia 52 tahun itu berjanji memberikan yang terbaik dengan membuat latihan dalam studio bersama ahli lain selain memperkukuhkan lagi vokal sebelum tiba malam konsert kelak.
“Kita sedang pilih lagu-lagu yang akan dipersembahkan nanti, kami pun bukan sekadar buat latihan biasa tapi dengan studio ‘jamming’.
“Guru vokal buat masa ini memang tiada. Semua ahli pun boleh jadi cikgu dan kami akan minta nasihat kawan-kawan juga.
“Kami pun akan jadi kreatif sikit dalam persembahan, susunan lagu lain daripada dalam album,” katanya lagi.
Azadan turut memaklumkan akan memberikan kelainan pada konsert kali ini dengan membawakan beberapa pelakon tanah air ke pentas bagi menyuntik emosi dramatik dalam konsert kali ini.
“Kami bila selalu jumpa dekat tempat persembahan, kami fokus pada persembahan dan penganjur. Tak sempat nak sembang fasal konsert.
“Memang kalau konsert akan buat kelainan dari sudut teknikal. Saya dapat idea kami masukkan dramatik dan bawakan pelakon.
“Buat masa ini nama pelakon dirahsiakan dulu tapi kami ada bincang mengenai calon paling sesuai,” ujarnya.
Pada masa sama, Azadan turut berkongsi satu rahsia pernah dilamar beberapa penganjur untuk mengadakan konsert secara besar-besaran tetapi terpaksa ditolak atas sebab tidak memenuhi syarat.
“Tiga tahun lepas kita buat konsert, 10 hari terakhir baru tiket terjual habis 3,000 lebih. Memang mula-mula susah tapi selain kita gerakkan promosi, media sangat membantu dan melaksanakan gerak kerja secara ‘offline’.
“Isu sekarang tak semestinya nama kita besar dalam industri pun tak semestinya boleh jual tiket sampai habis.
“Kita nak buat sendiri memang tak berani sebab kita pun sibuk. Sebenarnya, bukan satu penganjur yang bagi tawaran.
“Ada ramai ajak nak buat konsert, tapi penganjur ini kami terima. Yang lain, selagi syarat tak ditunaikan, kami tak buatlah,” ujarnya.
Namun, dia tidak mahu menjelaskan lanjut mengenai perkara tersebut dan hanya memberi fokus kepada konsert anjuran Universe Gateway.
Konsert Intifada Rabbani akan dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi jemputan seperti kumpulan nasyid Brothers, Yabang dan Aeydan.
Tiket konsert sudah mula dijual sejak 31 Julai lalu menerusi Ticket2U dan Fantopia.io.
Sebagai memenuhi syariah, tempat duduk juga akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu zon general (buat keluarga), zon Muslimah (wanita) dan zon Muslim (lelaki).