fbpx
Tangkap layar aksi mengejar kereta dinaiki dua beradik itu.

[VIDEO] Dikejar 90km bawa sebotol ketum akhirnya berhenti di IPK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Gara-gara panik dikejar selama hampir sejam, dua beradik memandu kereta menghala ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sebelum ditahan bersama sebotol air ketum pagi tadi.

Adegan mengejar kereta sejauh 90 kilometer itu dikatakan bermula pada pukul 1.30 pagi. Dua suspek yang ditahan berusia 18 dan 24 tahun.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, anggota polis peronda (MPV) mengesan kereta Proton Wira berwarna biru dalam keadaan mencurigakan di Pusat Komersial Seksyen 7 di sini.

Katanya, anggota MPV membunyikan siren dan mengarahkan pemandu berhenti bagi tujuan pemeriksaan dengan menggunakan pembesar suara.

“Sebaliknya pemandu berusia 24 tahun bertindak memecut bagi meloloskan diri. Tindakan itu menyebabkan polis terpaksa mengejar sejauh kira-kira 90km,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sebanyak enam kereta MPV diarahkan membantu bagi menahan pemandu kereta tersebut.

Katanya, selepas hampir sejam, pihak polis berjaya memintas kereta Proton Wira itu di Seksyen 9 berhadapan pintu pagar IPK Selangor.

“Kita percaya pemandu panik dan terarah memandu ke IPK Selangor. Dua beradik itu ditahan dan pemeriksaan menemukan sebotol cecair disyaki ketum di bawah tempat duduk penumpang hadapan,” ujarnya.

Jelasnya, semakan mendapati pemandu memiliki lima rekod kes dadah, manakala seorang lagi suspek tiada rekod jenayah.

Permohonan reman ke atas mereka akan dibuat pagi ini di Mahkamah Majistret di sini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Terdahulu, tular di aplikasi TikTok sebuah video memaparkan sebuah kereta dikejar beberapa MPV polis di Seksyen 7. – KOSMO! ONLINE

@liadally Dia main pusing pusing daa Hahahahaha #polis #shahalam ♬ Mara Bahaya – Pop Shuvit

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN