JAKARTA – Sepasang suami isteri di Bengkulu Tengah, wilayah Bengkulu menjadi perhatian pengguna media sosial kerana mempunyai jarak usia 46 tahun, lapor laman berita Tribunnews semalam.
Bunga Fitri, 27 dan Sai’un, 73, mendirikan rumah tangga selepas cuma dua minggu berkenalan.
Jarak usia mereka yang jauh membuatkan pasangan itu menjadi perhatian pengguna media sosial yang rata-rata menuduh perkahwinan itu dilakukan atas tujuan material.
Namun, ibu gadis tersebut yang lebih mesra dipanggil Fitri, Rosmala Dewi menepis semua dakwaan netizen dan berkata, Sai’un merupakan pilihan anak perempuannya sendiri.
“Bukan kerana hutang atau paksaan. Saya terima sahaja,” kata Rosmala.
Tambah Rosmala, kebahagiaan anaknya adalah segalanya buat dirinya justeru, dia menyokong pilihan hati Fitri.
Sementara itu, Sai’un berkata, Fitri menyuarakan hasrat untuk berumah tangga kepada anak saudaranya sebelum mereka berdua dipertemukan.
Tambahnya, selepas dua minggu berkenalan, mereka sepakat untuk berkahwin.
“Saya memerlukan teman hidup kerana anak-anak sudah berkahwin.
“Jika saya pergi ke kebun, Fitri menemani dan jika berada di rumah, kami saling menjaga,” katanya yang merupakan seorang petani. – AGENSI