PETALING JAYA – Seorang jururawat berkongsikan gambar memaparkan sepeket beg darah yang penuh dengan kolesterol sehingga menjadi perbincangan hangat sesama pengguna media sosial.
Jururawat tersebut yang berkongsikan gambar itu di aplikasi Thread menjelaskan beg darah berwarna putih itu kerana mengandungi lipid atau lemak serta kolesterol yang tinggi.
“Ini bukan darah Mahsuri. Dari ‘tube’ sampai ke beg. Berapa lah kolesterol dia ni. Sayang betul,” ciapnya.
Bagaimanapun, jururawat tersebut memberitahu penderma tidak akan menerima kolesterol tersebut kerana ia tidak boleh dipindahkan melalui darah.
“Kolesterol bukan penyakit berjangkit. Kolesterol itu adalah lemak dalam darah, bukan virus atau bakteria. Kolestrol berkaitan dengan metabolisme tubuh, bukan sesuatu yang ‘ditularkan’ melalui darah.
“Proses saringan darah sangat ketat. Semua darah penderma disaring untuk penyakit berjangkit. Kolesterol tidak disaring sebab ia tidak membahayakan penerima,” jelasnya.
Sementara itu, jururawat tersebut juga sempat memberikan beberapa nasihat kepada orang ramai cara-cara untuk mengurangkan kolesterol ‘jahat’ dalam badan.
“Antaranya, ubah pemakanan. Makan lebih makanan yang bantu turunkan kolesterol jahat seperti oat, barli dan bijirin tinggi serat larut. Makan juga buah-buahan seperti epal, anggur, oren, beri.
“Kurangkan atau elakkan lemak tepu (daging berlemak, mentega, santan), lemak trans (makanan proses, biskut, kek, makanan segera) serta makanan bergoreng, makanan segera, kerepek,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE