fbpx
ANWAR

Harga elektrik turun, harga minyak turun – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Harga elektrik turun, harga minyak turun. Inilah keadaannya”.

Demikian penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu mengulas situasi terkini membabitkan tarif elektrik dan penyelarasan subsidi di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, rakyat telah pun menerima bil elektrik masing-masing untuk bulan Julai yang sebelum ini disebut oleh Ahli Parlimen pembangkang akan mengalami kenaikan.

Jelas beliau, walhal dalam soal membabitkan kenaikan tarif elektrik, langkah itu hanya akan membabitkan pihak industri.

Justeru, beliau menempelak Ahli Parlimen yang sepatutnya menjadi jurucakap kepada rakyat, tetapi mewakili ‘tauke’ dalam menyuarakan isu kepentingan rakyat.

“Tarif elektrik naik, (tetapi) bayaran itu lebih rendah. Jika ada bayar lebih, saya tidak faham kerana purata penurunan adalah lapan hingga 14 peratus.

“Ahli Parlimen perlu jadi jurucakap rakyat, bukan jurucakap ‘tauke’. Kadar elektrik yang naik adalah untuk syarikat. Jika ada di mana-mana FELDA secara khusus terbeban, kita cuba bantu,” katanya sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) adakah Kerajaan Madani menguruskan hutang negara dengan bertanggungjawab berikutan hutang naik kepada RM1,247.6 bilion pada hujung 2024.

Anwar seterusnya membidas sikap berat sebelah pembangkang kerana tidak membangkitkan kenaikan tarif air di negeri yang dipimpin mereka.

Kata beliau, kerajaan negeri termasuk Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu meminta menaikkan tarif kerana berdepan masalah seperti tunggakan hutang dan penambahbaikan infrastruktur.

“Kita tidak mahu melarang atau menyuruh, tiada halangan. Ini keputusan negeri kerana air adalah bidang kuasa negeri. Jadi, kenapa ‘double standard,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI