BUDAPEST – Pelumba McLaren, Lando Norris memberi tumpuan 100 peratus dalam misi memburu gelaran dunia Formula Satu (F1) selepas mencipta kemenangan di Grand Prix (GP) Hungary malam kelmarin.
Norris mengakui dia tidak menjadikan hidupnya mudah terutama menentang rakan sepasukannya di McLaren, Oscar Piastri yang turut menamatkan perlumbaan tempat kedua.
Kemenangan di Hungary membolehkan Norris merapatkan jurang mata dengan rakan sepasukannya dalam kejuaraan kepada hanya sembilan mata.
“Perlumbaan ini sukar dan ia akan terus menjadi sukar. Jurangnya sangat kecil antara kami. Saya pasti ada beberapa perkara yang boleh saya lakukan dengan lebih baik dan perbaiki.
“Saya cukup pasti dia (Piastri) mungkin akan mengatakan perkara yang sama. Saya mahu mengambil masa rehat ini dengan baik dan ada perkara yang saya perlu dan mahu perbaiki.
“Saya akan terus bekerja keras biarpun ketika ini memperoleh keputusan yang positif. Jadi, jika saya dapat memperbaiki perkara-perkara itu, saya akan berada di kedudukan yang lebih baik,” katanya.
Norris memulakan perlumbaan di Litar Hungaroring di tempat ketiga dan sedikit bergelut apabila ketinggalan kepada George Russell dari Mercedes.
Strategi satu hentian pit yang digunakan menjadi taruhan tepat untuk Norris, walaupun McLaren sendiri tidak pasti ia akan berhasil.
“Ini antara kemenangan pertama saya dengan cara seperti ini. Ia strategi yang sukar untuk dilakukan, tetapi ia berhasil. Itu perkara paling penting.
“Secara jujur, saya tidak fikir ia akan menjadi Tetapi setiap pusingan memberikan saya keyakinan yang semakin bertambah bahawa ia akan menjadi semakin hampir. Jadi, ya, ini kemenangan yang sangat baik,” katanya.
Perebutan gelaran dijangka sengit hingga ke penghujung musim apabila saingan bersambung di Grand Prix Belanda pada 29-31 Ogos depan. – AGENSI