SEOUL – Pengurus Newcastle United, Eddie Howe masih menaruh harapan supaya penyerang, Alexander Isak kembali menjalani latihan selepas hampir dua minggu tidak bersama dengan pasukan itu.
The Magpies masih mengharapkan sentuhan pemain Sweden itu, terutamanya selepas mereka bergelut untuk menjaringkan gol ketika seri 1-1 menentang Tottenham Hotspur pada aksi persahabatan di Stadium Piala Dunia Seoul malam kelmarin.
Berbaki dua minggu sahaja lagi sebelum saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) membuka tirai, Newcastle berada dalam situasi terdesak apabila Isak terus ‘buat perangai’ kerana mahu meninggalkan pasukan itu.
“Sudah tentu saya mahu Isak ada bersama kami, tetapi saya tidak tahu sama ada dia akan datang ataupun tidak. Saya serahkan kepada pihak pengurusan di England untuk menguruskan perkara ini,” kata Howe.
Terdahulu, Isak menyuarakan hasrat untuk meninggalkan St. James Park dan menyertai juara Liga Perdana, Liverpool sehingga menyebabkan Newcastle terpaksa memantau pasaran perpindahan pemain bagi mencari pengganti.
Bagaimanapun, masa depan penyerang berusia 26 tahun itu kini berada dalam keadaan samar selepas Liverpool bertindak menarik diri daripada meja rundingan selepas bidaan £100 juta (RM562.94 juta) ditolak Newcastle.
Sementara itu, Howe mengakui berpuas hati dengan aksi ditampilkan barisan pemainnya yang berjaya menguasai sepenuhnya permainan biarpun tidak diperkuatkan Isak di bahagian jentera serangan.
“Satu perlawanan yang cukup kompetitif walaupun kami tidak bermula baik. Say gembira kerana kami berjaya bangkit menyamakan kedudukan selepas ketinggalan pada awal perlawanan,” ujarnya. – AGENSI05