LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot semakin teruja melihat impak yang dipamerkan Hugo Ekitike yang semakin serasi dengan pasukan pada aksi pemanas badan terakhir ketika bertemu Athletic Bilbao awal pagi tadi.
Pada perlawanan di Anfield itu, skuad The Reds mengatur dua aksi persahabatan dengan melakar kemenangan 4-1 dan 3-2 ke atas kelab La Liga itu pada hari yang sama.
Ekitike yang diturunkan pada aksi kedua berjaya melakukan umpanan tepat kepada Mohamed Salah untuk meledak gol pembukaan, manakala dua lagi jaringan diledak Cody Gakpo.
Kata Slot, semua pemain kini sudah bersedia untuk diturunkan menjelang aksi pembuka tirai Perisai Komuniti bertemu Crystal Palace di Stadium Wembley pada Ahad ini.
“Saya teruja melihat prestasi pemain pada dua aksi yang diharungi selepas meledak tujuh gol.
“Mereka semua telah menunjukkan keserasian yang jitu dan kualiti terutama ketika mencipta peluang.
“Pemain-pemain baharu seperti Ekitike mula memberikan impak selain tonggak muda, Rio Ngumoha yang sangat cemerlang sepanjang kempen pramusim ini.
“Namun, masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutama aspek bertahan ketika situasi set-piece dan harap pemain gandakan tumpuan ketika bertemu Palace nanti,” katanya,














