SEBERANG PERAI – Tiga individu termasuk pemandu dan penumpang sebuah kereta Honda City dilaporkan terselamat selepas kenderaan itu terbakar pada enjin akibat rempuhan tiang elektrik di Kilometer 143, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Perai, malam tadi.
Kesemua mangsa dikatakan terlebih dahulu diselamatkan orang awam yang melihat kejadian berlaku kira-kira pukul 8.29 malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kejadian berlaku.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai.
“Kebakaran melibatkan sebahagian enjin bahagian kereta akibat terbabas melanggar tiang elektrik dengan anggaran peratusan kemusnahan sebanyak lima peratus.
“Terdapat tiga mangsa di dalam kenderaan itu berada dalam keadaan selamat. Kebakaran telah dapat dipadamkan oleh orang awam sebelum pihak bomba hadir di lokasi,” katanya di sini, malam tadi.
Jelasnya lagi, lokasi kejadian kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa dan Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya. -KOSMO! ONLINE