LIVERPOOL – Dua bintang muda Liverpool, Rio Ngumoha dan Trey Nyoni mula memasang impian dengan mencabar pemain-pemain senior lain bagi menghadirkan sumbangan lebih besar buat pasukan pada saingan musim 2025/26.
Ketika perhatian lebih menjurus kepada pemain baharu seperti Florian Wirtz, dua bakat muda The Reds itu enggan sekadar melengkapkan pasukan dan ia terbukti menerusi persembahan meyakinkan dipamerkan mereka sepanjang kempen pramusim di Asia ketika ini.
“Andy Robertson banyak membantu dan saya menganggap dia memiliki pengalaman luas selaku salah seorang pertahanan kiri terbaik dunia. Saya tidak boleh meminta lebih banyak lagi daripadanya atas tunjuk ajarnya.
“Saya tidak mahu terlalu mendesak untuk berada dalam skuad utama kerana saya masih muda. Saya mahu mahu tunjukkan kemampuan kepada pengurus dan saya tidak akan sesekali cepat berpuas hati.
“Saya hanya mahu bermain seperti biasa agar dapat hadirkan sesuatu yang lebih besar dan bermakna buat kelab ini,” kata Ngumoha.
Liverpool akan meneruskan aksi pramusim menentang jaguh Sepanyol, Athletic Club di Anfield awal pagi esok dan ia menjadi persiapan terakhir sebelum juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menghadapi Piala Perisai Komuniti menentang Crystal Palace pada 10 Ogos ini.
“Semua orang dalam akademi banyak membantu kami berkembang menjadi indiviu lebih baik. Saya fikir perkara penting adalah untuk kekal merendah diri, terus berlatih dan beri 100 peratus setiap kali mendapat peluang,” kata Nyoni. – AGENSI