KUALA LUMPUR – Anggota polis yang cedera ditikam dalam kejadian di Pasar Pudu, Jalan Yew, di sini baru-baru ini, kini dilaporkan stabil dan telah dipindahkan ke wad biasa.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, berdasarkan makluman doktor, anggota berkenaan dijangka pulih sepenuhnya dan berkemungkinan akan dibenarkan keluar hospital dalam tempoh seminggu lagi.
“Bagaimanapun, doktor masih memantau keadaannya kerana bimbang risiko pendarahan dalaman atau jangkitan. Tikaman yang dialami bersaiz kira-kira tiga sentimeter lebar dan tujuh sentimeter dalam.
“Anggota berkenan bernasib baik kerana tidak mengenai organ penting, hanya mengenai usus kecil,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) Unit Rondaan Bermotosikal, beliau menjelaskan bahawa tindakan anggota yang terlibat adalah mengikut SOP ditetapkan.
“Tiada isu dari segi SOP, rondaan dilakukan secara berkumpulan seperti ditetapkan. Sebab itu ketika kejadian, terdapat dua anggota di lokasi dan suspek berjaya ditahan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamed Usuf memaklumkan bahawa kertas siasatan berhubung kejadian tersebut telah dilengkapkan dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang anggota polis cedera selepas ditikam seorang lelaki semasa menjalankan pemeriksaan di Jalan Pudu, pada Khamis lalu.
Ketika kejadian, anggota yang bertugas di Balai Polis Pudu itu dilaporkan sedang melakukan tugasan rondaan cegah jenayah di kawasan terbabit. – KOSMO! ONLINE