fbpx
Tangkap layar kejadian pecah rumah di kawasan Batu Maung, semalam.

Suspek dicekup selepas patah balik ambil barang tertinggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Tindakan seorang lelaki menceroboh sebuah rumah di kawasan Batu Maung di sini membawa padah apabila dia ditangkap oleh penghuni kediaman berkenaan selepas berpatah balik untuk mengambil barangnya yang tertinggal.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memasuki rumah tersebut melalui pintu belakang ketika pembantu rumah keluar membuang sampah.

“Namun, apabila menyedari kehadiran pengadu, suspek melarikan diri.

“Bagaimanapun, suspek kemudian berpatah balik ke rumah berkenaan dipercayai untuk mengambil semula barang miliknya yang tertinggal, dan ketika itulah dia berjaya diberkas oleh pengadu bersama beberapa rakannya,” katanya di sini, malam ini.

Terdahulu, kejadian tersebut dikesan tular di media sosial kira-kira pukul 4 petang tadi.

Menurut Sazalee, suspek kemudiannya diserahkan kepada anggota polis MPV yang sedang bertugas di Zon 3 Batu Maung.

“Suspek telah ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau pagi esok bagi permohonan reman,” ujarnya.

Tambahnya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah methamphetamine (Meth), amphetamine (AMP) dan benzodiazepine (Benzo).

“Suspek juga mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI