KUCHING – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak menumpaskan sindiket penyeludupan bawang ke negara jiran, yang membawa kepada rampasan 35 tan bawang bombay dan 1.4 tan bawang putih.
Komander PGA Briged Sarawak Asisten Komisioner Che Ghazali Che Awang berkata, tangkapan itu dibuat dalam Op Taring Bravo yang dijalankan oleh pasukan daripada Cawangan Risik Ibu Pejabat PGA Briged Sarawak, Kuching kira-kira pukul 9.05 malam, 1 Ogos lalu.
Dalam operasi itu, serbuan dan pemeriksaan telah dibuat ke atas empat buah lori di Daerah Bau yang disyaki membawa muatan bawang tersebut menuju ke arah sempadan Malaysia – Indonesia tanpa permit sah.
“Pasukan serbuan telah berjaya menahan empat orang lelaki tempatan berumur 24 hingga 54 tahun dan hasil pemeriksaan menemukan 35,000 kilogram bawang bombay dan 1,400 kilogram bawang putih, dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM1.12 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Che Ghazali berkata, Cawangan Risik Batalion 11 PGA Kuching juga menggagalkan cubaan menyeludup gula import kira-kira pukul 9.30 malam, 24 Julai lalu hasil penahanan ke atas dua buah lori di Daerah Lundu.
“Pasukan serbuan berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 38 dan 47 tahun, dan pemeriksaan lanjut menemukan 10,000 kilogram gula import dan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM350,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE