MADRID – Real Madrid membuat keputusan mengejutkan apabila dilapor sedia membida khidmat penggempur Chelsea, Nicolas Jackson biarpun pemain antarabangsa Senegal itu dikaitkan dengan isu prestasi.
Laporan menyebut, Real melakukan tindakan tersebut untuk memastikan mereka mampu mengatasi pencabar utama Barcelona yang turut mengintai khidmat Jackson, namun berdepan masalah kewangan.
Barcelona menamakan Jackson sebagai antara pemain buruan selepas menanggap pemain itu sebagai pengganti jangka panjang untuk penyerang utama, Robert Lewandowski yang semakin berusia.
Biarpun memiliki khidmat Endrick dan Gonzalo Garcia, Presiden Real, Florentino Perez merasakan terdapat keperluan untuk mereka membawa masuk penggempur yang lebih berpengalaman ketika kedua-dua pemain itu dianggap masih mentah.
Sumber memberitahu, Chelsea dilaporkan mahu nilai perpindahan sekitar £60 juta (RM340.54 juta) untuk melepaskan Jackson, namun Real tidak bersedia melunaskan bayaran tersebut dan mungkin sedang menilai pilihan untuk mendapatkannya secara pinjaman.
Sementara itu, rundingan pihak tertinggi Real bersama jurulatih, Xabi Alonso mendapati Jackson memiliki ciri-ciri pemain yang mereka perlukan terutama untuk menjalankan tugas di dalam kotak penalti lawan.
Alonso sebelum ini mengakui beliau memerlukan seorang penyerang yang hampir sama dengan corak permainan Joselu dengan memiliki kemampuan dominan selaku penyerang tulen. – AGENSI