LONDON – Bekas prinsipal pasukan Formula Satu (F1) Haas, Guenther Steiner dilapor sedang memuktamadkan pembelian pasukan MotoGP Tech3 dengan nilai sekitar €20 juta (RM103 juta).
Menurut laporan media antarabangsa, Steiner bersedia untuk mengambil alih pasukan yang diasaskan oleh Herve Poncharal dan Guy Coulon pada 1990.
Bagaimanapun, Steiner dijangka tidak melakukan perubahan besar apabila bersedia mengekalkan pasukan di Perancis, barisan pelumba serta kakitangan sedia ada.
Tech3 yang menjuarai kelas 250cc bersama Olivier Jacque sebelum melakukan debut kelas perdana pada 2001, kini menggunakan jentera KTM bersama Maverick Vinales dan Enea Bastianini.
Steiner tidak bersendirian dalam pembelian ini apabila dibiayai syarikat pelaburan Apex yang sebelum ini pernah membeli 20 peratus pegangan dalam pasukan Alpine F1 serta kini mengurus kira-kira 100 atlet profesional termasuk pelumba F1, Lando Norris.
Poncharal sebelum ini mengesahkan telah berbincang dengan Steiner dan memuji pengalaman luas bekas ketua pasukan Haas itu dalam sukan permotoran.
“Dia boleh menyertai sebagai pelabur, rakan kongsi atau pemegang saham minoriti, selain membantu aspek penajaan,” kata Poncharal.
Difahamkan, Poncharal akan menyerahkan tugas secara berperingkat kepada Steiner bagi membolehkan beliau menyesuaikan diri mengurus sebuah pasukan MotoGP.
Pengambilalihan ini berlaku ketika KTM baru pulih daripada kemelut kewangan selepas diambil alih syarikat India, Bajaj, yang melabur sekitar €800 juta sekali gus menjamin komitmen sehingga 2026.
Semua kontrak pasukan satelit akan tamat pada 2026 sekali gus memberi ruang untuk rundingan baharu atau pertukaran pembekal menjelang musim 2027. – AGENSI