BAITULMUQADDIS – Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir mengetuai beratus-ratus peneroka haram Yahudi menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa semalam untuk melakukan upacara keagamaan, lapor laman berita Middle East Eye (MEE).
Mereka dikawal ketat oleh polis serta cuba melakukan provokasi terhadap penduduk beragama Islam.
Video yang dilihat oleh MEE menunjukkan beratus-ratus peneroka Yahudi menyerbu halaman Masjid Al-Aqsa. Sebahagian daripada mereka dilihat menari dan berteriak serta mengganggu kesucian tempat ibadat umat Islam itu.
Status quo di Baitulmuqaddis telah lama menetapkan bahawa upacara keagamaan Yahudi dilarang di dataran tinggi di Kota Lama Baitulmuqaddis Timur yang diduduki, di mana Masjid Al-Aqsa berada.
Bagaimanapun, sepanjang abad yang lalu, kumpulan-kumpulan Zionis berulang kali melanggar peraturan yang rapuh itu dan melancarkan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas salah satu tapak paling suci umat Islam.
Penduduk di Kota Lama Baitulmuqaddis memberitahu MEE bahawa sebelum dan selepas serbuan Ben Gvir, kawasan tersebut kelihatan menyerupai pangkalan tentera kerana banyak pusat pemeriksaan didirikan selain ramai anggota keselamatan Israel ditempatkan di situ.
Mereka berkata, tentera Israel menyekat penduduk Palestin daripada mengakses masjid, dengan hanya beberapa penduduk tempatan dibenarkan melaluinya.
Sejak menjadi menteri dalam kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, Ben Gvir telah mengetuai sekurang-kurangnya 11 provokasi ke atas masjid tersebut. – AGENSI