Ulang tahun Berjaya Tioman Resort ke-40 dengan kejayaan membawa jenama tempatan ke persada global telah merealisasikan misi Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan pada awal peringkat penubuhan resort ini pada tahun 1985.
Testimoni yang baik, faktor cuaca, pantai sepanjang tiga kilometer di hadapan resort yang sentiasa terjaga tahap kebersihannya dan layanan terbaik daripada kakitangan membuatkan destinasi percutian ini menerima tempahan berulang daripada pelancong, sehinggakan ada pelancong asing yang menghabiskan cuti sehingga 14 hari di sini.
Penolong Pengurus Besar Unit Komunikasi dan Kelestarian, Berjaya Land Berhad, Mohamed Syairoz Mohd. Odman berkata, sambutan ulang tahun ini adalah fasa seterusnya buat resort ini agar terus menawarkan perkhidmatan premium terbaik kepada para pelanggan.
“Jika kita boleh kekal selama 40 tahun maka tiada sebab kenapa kita tidak boleh terus maju untuk 40 tahun akan datang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini dalam satu temu bual yang turut dihadiri oleh Pengurus Projek Berjaya Tioman Resort, Melvin Foong dan juga Pengurus Sumber Manusia resort, Aeyshah.
KOSMO!: Apakah keunikan resort mengekalkan imejnya di pasaran domestik dan antarabangsa?
Mohamed Syairoz: Kumpulan telah mengetengahkan hospitaliti Malaysia pada tahap yang terbaik sehingga kini dengan Berjaya Tioman Resort memiliki keistimewaan yang tersendiri dalam kalangan pelancong asing dan juga domestik.
Resort ini menawarkan kemudahan bertaraf dunia daripada keunikan pantai, kemudahan bilik hotel bertaraf premium dengan makanan dan minuman serta fasiliti lain yang dipertingkatkan tahun demi tahun serta aktiviti air yang menerujakan.
Pelancong suka datang ke sini kerana kami menawarkan pengalaman sukan air yang pastinya memberi pengalaman menarik untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.
Kejayaan ini juga sekali gus telah meningkatkan jenama Berjaya yang merupakan sebuah rangkaian kumpulan hotel terbesar dengan membawa jenama Malaysia.
Kami sangat bangga dengan pencapaian ini, jadi jenama yang dibangunkan ini menunjukkan Berjaya adalah salah satu pemain utama dalam industri perhotelan di negara ini.
Hubungan baik dan kerjasama dalam kalangan pekerja sebagai sebuah keluarga juga memberi kesan positif kepada syarikat apabila ramai di sini berkhidmat lebih dari tujuh hingga ada lebih dari 10 tahun.
Setiap tetamu menjadi keutamaan kami sebaik melangkah ke resort ini tambahan pula bagi mereka yang menyertai aktiviti air, kami tidak berkompromi soal keselamatan pelanggan selain itu cef kami juga begitu bersemangat menyediakan hidangan yang enak-enak kepada pengunjung agar ia meninggalkan kenangan paling manis dalam hidup mereka.
Berapakah kadar purata penginapan setahun?
Sepanjang musim ini kita jangkakan kira-kira 70 peratus dan musim puncaknya di sini adalah di antara bulan Jun hingga Oktober.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira 70 peratus adalah pelancong asing dan bakinya adalah pelancong domestik. Kumpulan pelancong asing terbesar pula adalah dari China, Eropah dan Singapura.
Apakah faktor tarikan pelancong memilih resort ini?
Kami memiliki testimoni yang baik daripada pelancong, mereka suka di sini kerana cuaca yang dengan kepanasan yang bersesuaian selain memiliki pantai yang cantik serta tidak sibuk dengan pengunjung.
Mereka suka dengan suasana pantai yang tenang, lautan terbentang luas sebaik mereka membuka pintu khususnya yang memilih bilik hotel berdekatan pantai.
Meskipun ini bukan pantai persendirian tetapi kawasan pantai yang sejauh tiga kilometer membuatkan mereka suka berihat di sini dan pastinya mereka akan datang berkunjung lagi.
Mereka tidak kisah dengan perjalanan yang jauh termasuk menaiki feri yang mengambil masa lebih dua jam ke sini.
Seperti hotel lain yang beroperasi di pulau turut terdedah kepada risiko musim monsun, bagaimana pula impaknya kepada resort ini?
Ya, musim monsun di sini adalah dari bulan November hingga Februari. Kami hanya beroperasi sehingga bulan Oktober.
Tetapi aktiviti di pulau ini masih berjalan seperti biasa cuma kami semua tidak boleh pergi ke daratan.
Apabila MET Malaysia memaklumkan tentang keadaan laut yang memberi risiko kepada feri beroperasi maka perkhidmatan tersebut ditutup, semestinya pelancong dan kami yang tinggal di Tioman tidak boleh keluar, jadi kami tidak mengambil tempahan daripada pengunjung dalam tempoh monsun.
Jadi di sinilah waktu terbaik untuk pihak hotel membuat penambahbaikan dan pengubahsuaian dalam skala yang besar. Bagi pekerja pula, mereka masih bekerja dengan memperoleh gaji bulanan.
Tetapi ada yang sebahagian dihantar bertugas ke mana-mana rangkaian hotel Berjaya yang sibuk ketika itu seperti di Langkawi dan Kuala Lumpur.
Bila sebut tentang pekerja berapa ramai penduduk pulau ini bekerja di hotel ini?
Kira-kira 70 peratus adalah penduduk di Pulau Tioman yang pada asalnya mereka datang dari daerah lain dan bekerja di pulau ini seterusnya berkahwin dengan penduduk tempatan membina keluarga mereka di sini sehinggalah menjadi orang Tioman.
Kebanyakan pekerja di sini adalah generasi kedua dengan emak dan bapa mereka bekerja di bahagian kemasan bilik, pengawal keselamatan atau di bahagian pentadbiran. Mereka adalah menyambung legasi kerjaya ibu bapa mereka.
Saya lihat Berjaya Tioman Resort telah berjaya membangunkan budaya tersebut dan ia bukan sahaja di sini tetapi juga di Pulau Redang.
Selain peluang pekerjaan, apa lagi manfaat yang diberi kembali kepada penduduk di pulau ini?
Kami adalah resort terbesar di pulau ini dan seharusnya kami sentiasa memberi kerjasama dengan membantu mereka menggunakan fasiliti yang ada di sini.
Sebagai contoh, mereka boleh menggunakan padang bola untuk penganjuran pertandingan bola sepak dan apabila ada latihan renang yang perlu pelajar jalani, pihak sekolah dibenarkan membawa pelajar ke kolam renang di sini di bawah pemantauan guru mereka.
elain itu, kami juga bekerjasama dengan seorang individu yang dikenali sebagai Abang Don yang secara sukarela memelihara anak penyu yang sudah cukup matang untuk dilepaskan ke lautan.
Beliau akan datang membawa anak-anak penyu ke hotel. Ia bertujuan untuk membantu meningkatkan kesedaran tentang pemuliharaan penyu agar tidak pupus pada masa depan.
Dengan tanpa bayaran yang diambil oleh Abang Don, beliau berbesar hati membantu pelancong merealisasikan pengalaman mereka melepaskan anak-anak penyu di pantai di resort ini.
Kami pula membantu beliau dengan memberikan pelbagai bahan keperluan dapur dan juga makanan anak-anak penyu tersebut demi kelangsungannya. -KOSMO! ONLINE