TANJUNG MALIM – Dua maut dalam nahas membabitkan tiga buah lori masing-masing membawa muatan telur ayam, kampit simen dan kontena di Kilometer (KM) 372.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, Slim River di sini pada pukul 12.15 tengah hari tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintendan Suhaimi Mohamad berkata, dua mangsa lelaki warga tempatan yang maut itu dikenali Alexander Silvam, 31, dan Periasamy Nadarajah, 26, dengan masing-masing beralamat terakhir di Rantau, Negeri Sembilan.
“Siasatan awal mendapati lori membawa muatan telur ayam yang kedua-dua mangsa itu merupakan penumpang telah melanggar bahagian belakang sebuah lori muatan simen yang sedang berhenti di lorong susur sebelum masuk ke tol Slim River.
“Mereka menuju ke Seremban dari Ipoh. Kemudian, pemandu lori tersebut terlanggar bahagian sisi kiri sebuah lori kontena lain yang sedang bergerak di lorong tengah,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, kedua-dua mangsa yang merupakan penumpang hadapan dan belakang lori meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan.
Katanya lagi, nahas itu menyebabkan pemandu lori Bastian Abas, 44, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan penumpang lain iaitu Ariff Aiman Ariffin, 26, pula luka di bahagian muka.
Ujarnya, dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Slim River menggunakan ambulans untuk mendapat rawatan lanjut. Pemandu dua lori lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Plus Malaysia Berhad (Plus) memaklumkan nahas itu menyebabkan trafik sesak sejauh 15 km. – KOSMO! ONLINE