JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 1,489 saman terhadap pemandu kenderaan Singapura yang dikesan tidak memasang dan mengaktifkan tag RFID Permit Kemasukan Kenderaan (VEP).
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, semua saman yang dikeluarkan bermula 1 Julai lalu hingga kelmarin itu berjumlah RM445,800.
Katanya, dalam tempoh operasi lebih sebulan itu, sebanyak 14,379 kenderaan Singapura sudah diperiksa di laluan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar serta sekitar daerah ini.
“Operasi yang diadakan pada malam ini sahaja, sebanyak 15 saman dikeluarkan terhadap kenderaan Singapura yang masuk ke Malaysia tanpa memasang dan mengaktifkan Tag RFID VEP.
“Daripada semua pemilik dan pemandu kenderaan yang kita saman ini, rata-rata memberi alasan tidak tahu bahawa kerajaaan Malaysia sudah menjalankan penguatkuasaan dan masih lagi menjalankan tindakan advokasi,” katanya selepas turut serta dalam pemeriksaan kenderaan Singapura dalam Operasi Penguatkuasaan VEP di susur keluar BSI, di sini malam tadi.
Pada 4 Jun lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, kerajaan akan menguatkuasakan sepenuhnya VEP di sempadan darat Malaysia-Singapura bermula 1 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE