SUNGAI BULOH – Aksi menunggang secara melulu dan berbahaya dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan dua motosikal dan tiga kereta di Kilometer 9.6 Lebuh Raya Guthrie hala selatan, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu, sebuah video tular di laman sosial Facebook memaparkan gelagat sekumpulan penunggang motosikal yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika sebuah kereta dalam perjalanan dari Elmina menghala ke Meru, Klang.
“Sebaik tiba di lokasi, pemandu kereta berkenaan memperlahankan kenderaan untuk mengelak dua motosikal yang telah terlibat kemalangan terlebih dahulu di kawasan tersebut.
“Bagaimanapun, sebuah lagi kereta dari arah belakang gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan ketiga-tiga kereta berkenaan mengalami kerosakan namun tiada kecederaan dilaporkan.
“Identiti penunggang motosikal yang terlibat masih belum dikenal pasti dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan. Polis tidak menolak kemungkinan insiden berpunca daripada pemanduan tidak berhemah,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohd Hafiz menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti lumba haram atau samseng jalanan kerana ia sia-sia serta boleh meragut nyawa dan mengundang risiko lebih besar.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang awam yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Azie Azyanti Mohd Rafa’e di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-61561222. – KOSMO! ONLINE