KUALA LUMPUR – Saringan pergerakan keluar masuk pengembara akan dilaksanakan secara digital sepenuhnya tanpa melibatkan kuasa budi bicara pegawai selepas sistem pintu automatik (autogate) di pasang di semua pintu masuk negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 635 autogate akan dipasang di 123 pintu masuk negara di bawah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
“Bermula Disember ini, ia akan dipasang di Kompleks Sultan Abu Bakar, Bangunan Sultan Iskandar, Johor, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan 2, Lapangan Terbang Kuching, Lapangan Terbang Kota Kinabalu, dan Lapangan Terbang Pulau Pinang.
“Pada Mac 2028, kita akan melakukan ‘rollout’ sepenuhnya. Jadi itu langkah ke hadapan apabila kita bergerak ke arah perkhidmatan pendigitalan autogate.
“Rekodnya adalah biometrik, ‘facial recognition’, ‘IRIS’, ‘thumb print’ dan semuanya itu dengan sendirinya manipulasi akan dapat diatasi,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) berhubung isu rasuah dan penyelewengan di Imigresen KLIA seperti sindiket Fly dan U-turn yang memalukan imej negara.
Terdahulu, Saifuddin Nasution berkata, ‘counter setting’, ‘flying passport’, U-turn, ‘phantom travellers’ atau apa jua istilahnya memberikan wajah hodoh kepada agensi terlibat.
Menurut beliau, senarai suspek yang selalu menggunakan atau memanipulasi sistem itu antaranya individu yang mempunyai sekatan ke luar negara dan ejen pekerja asing dan individu yang mempunyai isu peribadi lain.
Katanya, bagi menangani isu itu, kerajaan juga dalam proses ‘Proof of Concept’ (POC) untuk pemakaian kamera badan oleh petugas Jabatan Imigresen di pintu masuk utama negara khususnya KLIA.
“Perolehannya akan kami lakukan pada September ini dengan harapan kami akan dapat kelulusan untuk 614 kamera badan. Ini akan dapat meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan bagi mengelakkan insiden yang disebut tadi.
“Ketiga, kita juga lakukan kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia, Malaysia Airports Berhad dan pasukan keselamatan penerbangan. Pada hujung tahun ini, kita akan laksanakan Advance Passenger Screening System,” katanya.
Jelas beliau, Advance Passenger Information (API) pula membabitkan 10 syarikat penerbangan daripada 56 yang beroperasi pada hujung tahun ini.
Katanya, dengan sistem itu, maklumat ketibaan pengembara ke negara ini dapat diketahui lebih awal sebelum mereka menjejakkan kaki ke Malaysia. – KOSMO! ONLINE