MUAR – Seorang pemandu teksi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini semalam atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan yang juga penumpangnya, Mei lalu.
Tertuduh, Low Fatt Tham, 76, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa melakukan perbuatan terkutuk terhadap mangsa berusia 16 tahun dalam teksi ketika berhenti di lampu isyarat, Jalan Mohd Salim, Kluang, pada pukul 8.20 malam, 13 Mei lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam Nursyidah Muslim.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh dan mahkamah kemudianya membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah juga mengenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan terutama mangsa sehingga kes selesai, sementara kes disebut semula 4 September ini untuk serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE