LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta akhirnya mengalah apabila sedia mengubah taktikal permainannya bagi memenuhi potensi sebenar penyerang baharunya, Viktor Gyokeres sekali gus mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Gyokeres, 27, melengkapkan perpindahannya daripada Sporting Lisbon dengan harga £63 juta (RM356.60 juta) minggu lalu dan diberikan kepercayaan menggunakan jersi ikonik No. 14.
Bagaimanapun, debutnya tidak berakhir positif apabila Arsenal tewas 0-1 kepada seteru tradisi, Tottenham Hotspur di Hong Kong pada Khamis lalu biarpun dia hanya sempat beraksi kurang 15 minit dalam aksi itu.
Berdasarkan aksinya, Arteta tidak boleh meneruskan corak permainannya selama ini jika mahu memanfaatkan kelebihan Gyokeres yang selesa bermain secara terus dengan lebih banyak hantaran menegak.
Ini disebabkan keupayaan penyerang Sweden itu membuat larian di belakang untuk merobohkan benteng pertahanan pasukan lawan, sesuatu yang gagal dilakukan oleh Kai Havertz.
Difahamkan, Arteta sudah mencuba taktikal tersebut dalam sesi latihan dan dijangka memperlihatkan perkara itu ketika Arsenal menentang Villarreal di Stadium Emirates pada Khamis ini.
Corak permainan baharu itu dikatakan masih memerlukan masa tetapi ia mempunyai potensi untuk menjadikan Gyokeres sebagai penyerang paling digeruni di Eropah sekali gus menggembirakan para penyokong Arsenal.
Sebagai rekod, Arsenal amat mengharapkan sentuhan Gyokeres memandangkan mereka akan membuka kempen musim baharu EPL menentang Manchester United di Old Trafford pada 17 Ogos ini. – AGENSI