fbpx
Allahyarham Zayn Rayyan

Zayn Rayyan: Doktor psikologi kanak-kanak dijangka beri keterangan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pihak pembelaan dalam perbicaraan bela diri ibu Zayn Rayyan Abdul Matin akan memanggil seorang doktor pakar psikologi kanak-kanak bagi memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini esok.

Perkara itu disahkan peguam yang mewakili tertuduh, Ismanira Abdul Manaf yang mana saksi itu merupakan saksi pembelaan kelima.

Sebelum ini perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh dijadual bersambung lagi selama lima hari pada minggu ini hingga 8 Ogos.

Pada prosiding terdahulu, Hakim Syahliza telah selesai mendengar keterangan Ismanira selama tiga hari.

Selain Ismanira, saksi pembelaan lain yang turut dipanggil memberi keterangan ialah bapa mentuanya, Zahari Mohd. Reba, rakan Ismanira iaitu Umi Syafiqah Rohizal dan ibu saudara tertuduh.

Kesemua saksi pembelaan itu juga telah selesai pada peringkat pemeriksaan utama, pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.

Sepanjang prosiding Ismanira turut diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh Mahadevan manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.

Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ismanira diperintah membela diri, manakala suaminya Zaim Ikhwan Zaharidilepas dan dibebaskan atas pertuduhan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI