JOHOR BAHRU – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi seorang wanita warga Vietnam dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM4.9 juta di sebuah apartment, di daerah ini, minggu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, bertindak atas maklumat, serbuan dilakukan di dua unit rumah di apartment yang sama antara pukul 2.15 petang, 25 Julai lalu hingga 12.30 tengah malam, keesokan harinya.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan seorang wanita warga Vietnam berusia 31 tahun di sebuah apartment yang dijadikan tempat untuk didiami dan menyimpan dadah.
“Polis yang dipandu arah suspek telah menyerbu sebuah lagi unit rumah dan menemukan pelbagai jenis dadah. Unit yang disewa oleh individu lain ini menjadi lokasi membungkus semula dadah.
“Kita mendapati suspek telah menggunakan ramuan lain seperti serbuk kopi untuk dicampur bagi menghasilkan dadah,” katanya dalam sidang Akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Dalam serbuan tersebut, polis merampas 29,219 gram (g) serbuk ekstasi; 131 g atau 353 biji pil ekstasi dan 200 g ketamin.
Polis turut merampas pelbagai alatan memproses dan membungkus semula dadah selain menyita wang tunai RM3,000, wang tunai asing dan pelbagai jenis barang kemas dengan nilai sitaan RM38,555. – KOSMO! ONLINE