PETALING JAYA – Kebocoran gas di dapur dipercayai menjadi punca kebakaran di cawangan restoran Samurai Yakiniku di Bangi, Selangor pagi tadi.
Menerusi satu hantaran video di TikTok miliknya, pemilik restoran tersebut, Asyraff Jeffery, kejadian berlaku sekitar pukul 10.15 pagi ketika salah seorang pekerja sedang memulakan persediaan dengan memanaskan makanan di dapur.
“Apabila pekerja buka gas, api terus menyambar dan mereka cuba padamkan guna kain basah dan pelbagai cara, tetapi api makin marak,” ujarnya.
Asyraff berkata, dapur mengalami kemusnahan sepenuhnya namun, tidak merebak sehingga ke bahagian hadapan kedai serta menyifatkan jumlah kerugian dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit.
Namun begitu, beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua pekerja berada dalam keadaan selamat.
“Saya sangat bersyukur kerana insiden berlaku sebelum restoran mula beroperasi. Kalau tidak, mungkin melibatkan pelanggan juga,” ujarnya.
Susulan kejadian itu, restoran Samurai Yakiniku cawangan Bangi ditutup buat sementara waktu bagi tujuan baik pulih dan pelanggan yang telah membuat tempahan diminta menghubungi pihak restoran untuk tujuan pemulangan wang.
Asyraff turut menyeru agar pelanggan terus menyokong cawangan Samurai Yakiniku lain seperti di Kota Warisan, Setapak, Kota Damansara, Shah Alam dan Kota Bharu. – KOSMO! ONLINE
@asraffjeffery Dukacita @samuraiyakiniku ♬ Very Sad – Enchan