fbpx
JUSTIN perlu menangguh hasrat untuk meraih gelaran sulung dalam saingan Jelajah Dunia selepas sekadar menjadi naib juara pada Terbuka Macau. - ISKANDAR ISHAK

Terbuka Macau: Justin kempunan raih gelaran sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki negara, Justin Hoh terpaksa menerima hakikat bahawa belum tiba masa untuk dia meraih gelaran dalam saingan Jelajah Dunia selepas muncul naib juara pada Kejohanan Badminton Terbuka Macau.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di East Asian Games Dome sebentar tadi, bekas juara remaja Asia itu terpaksa pulang kecewa selepas tewas 15-21, 5-21 kepada pemain Indonesia, Alwi Farhan.

Meskipun bermula dengan aksi positif di set pertama apabila mengekori rapat kedudukan mata, namun situasi mula berubah sebaik sahaja Alwi menjarakkan diri daripada kedudukan 11-11 sebelum menang 21-15.

Memasuki set kedua, Alwi yang mendapat suntikan semangat hasil kemenangan awal terus melakukan asakan demi asakan sehingga menyaksikan Justin ketinggalan dengan perbezaan mata cukup besar 1-11.

Biarpun cuba memberikan segala-galanya bagi merapatkan kedudukan, namun aksi sempurna dipamerkan Alwi menyekat hasrat Justin untuk mengheret perlawanan ke set penentuan apabila tewas 5-21 di set kedua.

Selaku juara, Alwi membawa pulang hadiah wang tunai AS$27,750 (RM118,700) berserta pingat manakala Justin berpuas hati dengan AS$14,060 (RM60,141) dan juga pingat.

Sebagai rekod, ini merupakan pencapaian terbaik Justin sejak beraksi dalam saingan Jelajah Dunia selepas terkandas di suku akhir sebanyak dua kali  pada kejohanan Terbuka Taiwan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI