PETALING JAYA – Beberapa kawasan di lima negeri kekal berada pada status gelombang haba tahap satu (Jaga-jaga) apabila suhu maksimum direkodkan mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, keadaan panas terik itu melibatkan kawasan pedalaman dan selatan Kedah, Selama (Perak) serta daerah Temerloh, Pekan dan Rompin di Pahang.
“Di Sabah, bahagian barat dan Kudat mencatat suhu tinggi, manakala di Sarawak pula membabitkan kawasan Limbang. Keadaan ini dijangka berterusan sekurang-kurangnya untuk beberapa hari lagi bergantung kepada pola cuaca semasa,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan banyak meminum air kosong, mengurangkan aktiviti luar rumah khususnya pada waktu tengah hari dan awal petang.- KOSMO! ONLINE.