fbpx

Sah! Edika Yusof, Nor Hidayah kembali rujuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sah rujuk ketika masih dalam idah, pelakon Edika Yusof bersyukur jodoh 22 tahun hidup bersama suri hati Nor Hidayah Rusli masih panjang.

Bercerai talak satu pada 5 Mei lalu, Edika atau nama sebenarnya Mohd. Yusof Abd. Majid, 58, mendedahkan, pertemuan pertama selepas berpisah sempena makan bersama anak-anak pada Hari Bapa menjadi titik tolak perbincangan hati ke hati antara mereka untuk kembali bersatu.

“Alhamdulillah dipermudahkan. Tapi sebenarnya selepas bercerai kami masih baik dan berkomunikasi, cuma pada waktu itu tidak berjumpa agar masing-masing dapat bertenang serta muhasabah diri.

“Sehinggalah, sebulan selepas cerai, iaitu  ketika Hari Bapa, kami bersemuka dan dari situ berbincang hati ke hati, sekali gus mengambil keputusan rujuk.

“Kami sama-sama buat keputusan ini seterusnya pergi ke pejabat agama, cuma belum lagi dapat sijil nikah yang baharu,” kata pelakon Maria Mariana itu kepada Kosmo! Online.

Begitupun, buat masa ini Edika dan isteri masih belum kembali tinggal sebumbung.

“Tidak perlu terburu-buru, kita tunggu pengesahan rasmi pihak berkaitan dahulu. Lagi pun masing-masing masih dalam fasa muhasabah diri.

“Sentiasa positif, rendahkan ego serta kenang semula detik indah lebih dua dekad susah senang bersama. Apa pun, semuanya (proses) berlangsung dengan lancar,” ujarnya.

Belum sedia berkongsi tarikh rujuk, tambah Edika,  dapat bersatu semula dengan Nor Hidayah adalah satu perkara yang sangat disyukurinya.

“Saya pernah cakap pada isteri mungkin saya takkan berkahwin lagi kalau berpisah dengannya kerana saya seorang lelaki yang setia.

“Kalau kereta pun saya tidak bertukar sejak dahulu, begitu juga barangan peribadi macam kasut, memang saya pakai lama sebab sayang, inikan pula suri hati,” katanya.

Terdahulu, ramai menebak pasangan terbabit sudah rujuk ketika dalam idah selepas Edika berkongsi hantaran berupa foto dan ucapan penghargaan dengan kapsyen dirinya sebagai suami.

Terdahulu, ikatan perkahwinan antara pasangan terbabit terlerai apabila mereka bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 5 Mei lalu.

Difahamkan, Nor Hidayah memfailkan perceraian pada pertengahan Februari 2025 di mahkamah sama atas alasan tiada persefahaman.

Sebelum ini pasangan terbabit menjadi perhatian ramai apabila Edika berkorban dan setia menjaga isterinya yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak mereka.

Hasil perkongsian hidup sejak 2003, kehidupan mereka diserikan tiga cahaya mata termasuk seorang anak daripada perkahwinan terdahulu wanita terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI