MINAT mendalam dalam dunia kecantikan sejak kecil menyebabkan gadis Pesona Ahad dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini digelar ‘jangok’ atau suka melaram dalam loghat Kelantan.
Aleya Qistina Kamaruddin yang mesra disapa Aleya suka bereksperimen dalam berfesyen bagi mencari konsep yang sesuai dengan penampilannya yang kecil molek.
Bagaimanapun, gadis berusia 21 tahun itu berpandangan kecantikan sebenar bukan hanya terletak pada rupa paras, sebaliknya keperibadian seseorang.
Kepada Kosmo! Ahad, Aleya berkongsi mengenai dirinya.
KOSMO! AHAD: Kongsikan mengenai diri anda?
Aleya Qistina: Saya merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan anak tunggal perempuan. Jika ada masa terluang saya suka bermain pickleball bersama keluarga dan rakan-rakan.
Bagaimana timbul minat dalam bidang peragaan?
Disebabkan saya satu-satunya puteri dalam keluarga, minat terhadap kecantikan dan mahu tampil menarik makin menyerlah. Lagi satu, saya mahu mencabar diri melangkah keluar dari zon selesa. Saya mahu berdikari dan mencuba sesuatu yang baharu.
Definisi cantik bagi Aleya?
Andai berbicara tentang kecantikan fizikal, setiap orang mempunyai kecantikan tersendiri. Yang penting adalah keikhlasan hati, kebaikan dan cara mereka membawa diri. Kecantikan dalaman seharusnya jadi ukuran sebenar dalam menilai kecantikan seseorang, bukan warna kulit yang cerah dan badan langsing.
Perkara yang sering dikongsikan di media sosial?
Sudah tentu berkaitan fesyen dan gaya hidup seharian. Saya suka merakam dan berkongsi aktiviti harian seperti pemilihan pakaian, rutin penjagaan diri, serta aktiviti sama ada ketika seorang diri atau dengan orang tersayang. Namun, saya tetap berhati-hati dan meletakkan had bagi memastikan setiap perkongsian itumembawa nilai positif.
Mempunyai ramai pengikut di media sosial, adakah Aleya pernah ‘diganggu’?
Sejujurnya, saya tidak pernah terima komen ‘nakal’. Biasanya mereka bermesej mahu berkenalan. Saya sentiasa bersikap terbuka jika ada komen membina, saya ambil sebagai panduan untuk perbaiki diri. Saya tidak ambil hati dengan komen negatif
Tiga perkara yang orang tidak tahu tentang Aleya?
Saya mungkin kelihatan pendiam, tetapi bukan sombong cuma ambil sedikit masa untuk cipta suasana selesa. Saya juga suka mencuba perkara baharu dan menghargai masa.
Ciri-ciri lelaki pilihan Aleya?
Matang, hormat orang, mempunyai hala tuju dalam hidup dan mencintai diri saya dengan seadanya. –KOSMO! ONLINE