PETALING JAYA – Malang tidak berbau, anak kepada usahawan sensasi Datuk Seri Vida iaitu Cik B, terpaksa menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan di bahagian lutut kiri ketika menyertai sebuah program, baru-baru ini.
Tidak hanya bergantung kepada rawatan moden, Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 20, turut mencuba kaedah tradisional sebagai usaha mempercepatkan proses penyembuhan.
“Mama bawa saya ke Batu Gajah untuk berjumpa dengan bomoh tulang, cuba ikhtiar cara kampung.
“Tak salah kalau nak usaha, perubatan moden kita buat, tradisional pun kita cuba,” katanya menerusi satu hantaran dalam TikTok.
Lebih menyentuh hati, pelantun lagu Tolonglah itu mengakui ikhtiar itu dibuat kerana enggan terus menyusahkan keluarga dek terpaksa bergantung harap sepanjang proses pemulihan.
“Saya nak sembuh cepat, banyak urusan tergendala sebab saya jatuh.
“Saya tak mahu susahkan orang sekeliling tolak saya ke sana sini, tak mahu susahkan mama dan Kacak (adik),” ujarnya.
Rata-rata netizen memuji semangat dan kematangan puteri tunggal Vida itu selain mendoakan kesembuhan segera buatnya.
“Bagus Cik B, terbuka hati untuk ikhtiar cara kampung. Semoga cepat sembuh. Semangat awak ni memang kuat,” komen netizen.
“Walaupun anak DSV, tetap turun padang cari perubatan macam orang biasa. Suka tengok Cik B, matang dan rendah diri,” tulis pengikut.
“Semoga Cik B kembali sihat dan teruskan kerja seperti biasa. Ramai sayang Cik B,” kata peminat.
Untuk rekod, Cik B mengalami kecederaan lutut ketika menjalani aktiviti fizikal dalam program Sambutan Minggu Perpaduan 2025 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE.