PETALING JAYA – Simpan semuanya sendiri, pelakon dan personaliti media sosial, Norreen Iman memilih untuk mengunci mulut daripada mengulas lanjut mengenai spekulasi rumah tangganya dengan suami, Razzi Razak sedang bergolak selepas dilihat tidak lagi memuat naik gambar bersama.
Ujar Noreen atau nama sebenarnya Norreen Iman Abdullah, 31, keputusannya untuk tidak lagi mempamerkan kehidupan rumah tangga dalam media sosial dibuat demi menjaga ketenangan diri dan keluarga.
“Saya rasa kali ini, saya nak hidup lebih tertutup. Sebab bila kita tunjuk bahagia pun tetap ada orang tak suka.
“Jadi, lebih baik saya hidup dengan cara saya sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pun begitu, pelakon Seribu Tahun itu menegaskan kendatipun tidak lagi berkongsi foto atau kandungan berkaitan suami dan keluarga seperti sebelum ini, itu bukan bermaksud wujud masalah dalam perkahwinannya.
“Kita masih ada keluarga. Ada orang kongsi gambar anak tapi tutup muka, jadi macam itu jugalah saya.
“Tahun ini, saya mungkin tak tunjuk kebahagiaan rumah tangga. Biar saya sendiri rasa bahagia itu. Tak kongsi apa-apa dalam media sosial bukan tanda rumah tangga runtuh. Doakan yang baik-baik,” ujarnya.
Terdahulu, wujud spekulasi dalam kalangan netizen selepas ibu dua anak itu tidak lagi memuat naik gambar bersama suami seperti kebiasaan.
Bagaimanapun, hasil tinjauan mendapati mereka masih saling mengikuti dalam media sosial.
Untuk rekod, Noreen dan Razzi mendirikan rumah tangga pada tahun 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata. – KOSMO! ONLINE.