SEREMBAN – Isu keluarga termasuk pertikaian berhubung penjagaan anak dipercayai motif utama seorang kanak-kanak lelaki, M. Tishant dibunuh sebelum mayatnya ditanam di Rompin, Jempol minggu lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, setakat ini pihaknya tidak mengesan sebarang motif lain memandangkan suspek dalam proses perceraian.
“Hasil soal siasat mendapati motif kejadian dipercayai isu keluarga iaitu suspek serta isterinya dalam proses perceraian dan perebutan anak.
“Soal siasat mendapati kejadian di Jempol membabitkan lokasi kanak-kanak itu ditanam. Mayat itu ditanam di sini kerana suspek sudah biasa dengan kawasan di Jempol,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
KOSMO! sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Johor Bahru, ditemukan meninggal dunia di daerah Jempol.
Rentetan itu seorang lelaki direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Hasil bedah siasat ke mangsa mengesahkan punca kematian si mati adalah disebabkan oleh tekanan di leher iaitu akibat jerutan pengikat kabel