LONDON – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim dilapor lebih mahukan khidmat penggempur Aston Villa, Ollie Watkins berbanding Benjamin Sesko dari RB Leipzig yang menjadi keutamaan pihak pengurusan pasukan itu.
The Red Devils meneruskan pemburuan pemain di posisi serangan yang menjadi masalah utama mereka musim lalu untuk memastikan prestasi mereka kembali meningkat pada saingan musim baharu nanti.
Dilaporkan, pihak pengurusan tertinggi United membuat keputusan untuk mendapatkan Sesko yang dianggarkan bernilai £60 juta (RM339.15 juta) hingga £70 juta (RM395.67 juta) bersama bonus tambahan.
Bagaimanapun, Amorim dikatakan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut apabila menganggap Watkins adalah pemain yang lebih sesuai dengan gaya permainan yang diinginkan selain memiliki pengalaman beraksi di Liga Perdana Inggeris.
Pihak pengurusan United pula melihat situasi berkenaan dari sudut komersial apabila nilai perpindahan Watkins dianggap terlalu tinggi ketika dia bakal memasuki usia 30 tahun, manakala Sesko baru menginjak usia 22 tahun.
Villa dilapor mahukan nilai sehingga £60 juta (RM339.15 juta) ketika United hanya mahu membayar pada harga £45 juta (RM254.36 juta) bagi mendapatkan Watkins.
United percaya mereka mampu menguruskan rundingan bersama RB Leipzing dengan lebih mudah menggunakan Pengarah Pemantau Bakat, Christopher Vivell yang pernah berkhidmat di kelab itu sebelum ini.
Bekas pemain pertahanan United, Rio Ferdinand juga menzahirkan kebimbangan terhadap keputusan yang dilakukan kelab itu memburu Sesko kerana menganggap Watkins lebih efektif untuk mendapatkan lebih banyak jaringan buat pasukan. – AGENSI