fbpx
Gambar hiasan

Bayi 7 bulan maut sebab didera, penganiayaan selama sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kematian tragis seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan di sebuah kondominium di Cheras dipercayai berpunca daripada penderaan dan penganiayaan berterusan selama sebulan.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di seluruh badan, terutama di bahagian kepala yang menyebabkan tengkoraknya retak.

“Bedah siasat menunjukkan mangsa mengalami kecederaan pada seluruh badan dan tengkoraknya retak.

“Kematian berpunca daripada penderaan dan penganiayaan yang berlaku secara berterusan sejak sebulan yang lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, motif penderaan dipercayai berpunca daripada tekanan emosi yang dialami suspek wanita iaitu ibu angkat mangsa, ekoran bayi berkenaan sering menangis.

“Siasatan mendapati suspek lelaki bekerja sebagai jurujual manakala isterinya tidak bekerja,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri direman tujuh hari sehingga 6 Ogos ini bagi membantu siasatan kes kematian seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan di sebuah kondominium di Cheras.

Mohamed Usuf dilaporkan berkata, ibu kandung bayi berkenaan merupakan seorang wanita warga Indonesia.

Katanya, bayi itu dipercayai diserahkan kepada suspek sejak 18 Jun lalu sebelum ibu kandungnya pulang ke Indonesia.

Polis menerima laporan berhubung kejadian daripada bapa angkat bayi itu kira-kira pukul 9.34 malam pada 30 Julai lalu.

Lelaki itu memaklumkan anak angkatnya tidak sedarkan diri di rumah tanpa sebab yang diketahui.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI