MOGYOROD, Hungary – Lando Norris meneruskan penguasaan dengan mencatat masa terpantas dalam kedua-dua sesi latihan Grand Prix (GP) Hungary awal pagi semalam sekali gus menggambarkan dominasi awal McLaren di Litar Hungaroring.
Pelumba Britain itu mencatat masa terbaik satu minit 15.624 saat, mengatasi rakan sepasukan, Oscar Piastri dengan kelebihan 0.291 saat dalam sesi petang yang berlangsung sengit dan penuh insiden.
“Jentera bagus sejak pusingan pertama. Sesi kedua agak serabut dengan beberapa kesilapan tetapi itu biasa dalam latihan.
“Saya tahu apa yang saya mahukan dari jentera, tapi bukan mudah nak dapatkan segalanya,” kata Norris.
McLaren berpotensi mengulangi kejayaan Piastri musim lalu, apabila kedua-duanya saling bersaing merebut masa terpantas hingga hampir bertembung di selekoh pertama ketika Norris tergelincir di selekoh tersebut.
Sementara itu, Max Verstappen terus bergelut dengan prestasi jentera Red Bull apabila menamatkan sesi di kedudukan ke-14, ketinggalan 1.167 saat di belakang catatan terpantas susulan masalah keseimbangan yang berlarutan sejak sesi pagi.
Situasi Verstappen menjadi lebih rumit apabila Red Bull menerima amaran rasmi daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) selepas insiden ‘unsafe release’ melibatkan sehelai tuala yang tertinggal dalam kokpitnya.
“Daripada biar tuala itu berterbangan dan mungkin masuk ke bahagian kaki saya, jadi saya buangnya dengan cara paling selamat,” katanya.
Charles Leclerc muncul ketiga terpantas untuk Ferrari diikuti Lance Stroll dan Fernando Alonso dari Aston Martin serta Lewis Hamilton di tempat keenam. – AGENSI