KUANTAN – Seorang anggota polis mengalami kecederaan serius selepas ditetak dengan parang oleh seorang lelaki yang mengamuk di sebuah rumah di Felda Bukit Kuantan di sini semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu menyebabkan mangsa, Koperal Mohd. Shafril Izzwan Ismail mengalami kecederaan di bahagian belakang badan, dagu serta jari tangan dan kaki.
“Kejadiaan berlaku apabila sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat melalui panggilan MERS 999 berhubung tindakan seorang lelaki mengamuk bersenjatakan parang di rumah berkenaan.
“Semasa menjalankan tugas mententeramkan keadaan, salah seorang anggota diserang oleh suspek,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata.
Katanya, pihak polis telah menahan suspek dan merampas beberapa bilah senjata tajam di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati suspek yang berusia 37 tahun tidak bekerja dan dipercayai mengalami masalah mental.
“Tiada rekod jenayah direkodkan dan suspek turut dirujuk ke wad psikiatri HTAA untuk pemeriksaan kesihatan mental,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE